Tahniah MH Online ucapkan kepada pelakon, Natasha Liana Hudson, 29, yang sah bergelar isteri kepada penyanyi, Carleed Khaza atau nama sebenarnya Khalid Kamal, 33 , di Masjid Wilayah Persekutuan pada jam 11.55 pagi Ahad lalu.

Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah, Shahirman Ahmad, berwalikan hakim dengan mas kahwin sebanyak RM80 dan tiada wang hantaran diterima.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis pernikahan kami yang serba ringkas ini berjalan dengan lancar. Semoga perkahwinan saya kali ini berkekalan sehingga akhir hayat," katanya yang kembali bergelar isteri buat kali ketiga.

Pada majlis bersejarah ini, Natasha mengenakan persalinan coklat keemasan rekaan Shahida Shariff dan menerima lima dulang hantaran berupa Sirih Junjung, senaskah Al-Quran, sepersalinan pakaian, set wangian dan sebentuk cincin.

Manakala pihak lelaki pula menerima tujuh dulang hantaran iaitu sirih junjung, sepersalinan pakaian, sejadah, kek, set wangian, senaskah Al-Quran dan sebentuk cincin.

Majlis pernikahan ini turut disaksikan oleh kedua-dua ibubapa Carleed, Kamal Al-Bakri dan Aisha Abdul Manaf serta ibu Natasha, Ratna Hussin.